Trending
Bola

Unai Emery dilantik bimbing Villarreal

MADRID: Villarreal mengumumkan bekas bos Arsenal dan Sevilla, Unai Emery akan memikul tugas jurulatih kelab La Liga itu selepas pemecatan Javi Calleja.

Emery yang berusia 48 tahun dipecat Arsenal pada November lalu selepas The Gunners mengharungi tujuh perlawanan tanpa kemenangan, aksi terburuk mereka sejak 1992.

Dia memimpin Sevilla dengan memenangi tiga gelaran Liga Europa berturut-turut dari 2014 hingga 2016 sebelum memenangi lima trofi utama bersama gergasi Perancis, Paris Saint-Germain.

"Villarreal CF mencapai persetujuan dengan Unai Emery sebagai ketua jurulatih untuk tiga musim akan datang," kata Villarreal dalam satu kenyataan.

Villarreal berpisah dengan Calleja yang juga bekas pemain mereka minggu ini walaupun dia membawa kelab itu ke kedudukan kelima dalam saingan La Liga.

Emery melangkah ke final Liga Europa musim lalu bersama Arsenal, namun tewas kepada pesaing mereka Chelsea.

- AFP