Trending
Bola

Hamidin beri bayangan pemain baharu Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Selepas mengunci mulut mengenai spekulasi kehadiran Dion Cools, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya memberi bayangan pemain kacukan itu akan menyertai skuad Harimau Malaya.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu klip video ringkas mengesahkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan diperkuatkan dengan kehadiran pemain ke-26 bagi mengharungi baki kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

"Sekarang waktu jam 8 pagi di Dubai, nantikan ketibaan pemain ke 26 Harimau Malaya," kata Hamidin dalam video berdurasi 20 saat yang disiarkan di YouTube badan induk bola sepak negara itu, hari ini.

Walaupun tidak menyebut nama, peminat bola sepak tanah air sudah dapat meneka bahawa Cools adalah pemain yang dimaksudkan Hamidin dan bakal diumumkan FAM dalam masa terdekat.

Ia selepas berita mengenai penyertaan pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia itu tersebar luas di media sosial sebelum ini susulan kenyataan yang dikeluarkan kelabnya, FC Midtjylland.

Bagaimanapun, FAM dilihat cuba mengunci mulut dan enggan mengesahkan atau menafikan spekulasi mengenai pemain pertahanan berusia 24 tahun itu sehingga video ringkas Hamidin disiarkan.

Pengurus pasukan yang juga Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam ketika dihubungi sebelum ini juga enggan mengeluarkan kenyataan berkaitan laporan itu.

Malah, Cheng Hoe pada sidang media secara maya, semalam juga tidak mahu memberi sebarang komen mengenai spekulasi kehadiran Cools.

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini masih lagi kita fokus kepada 25 pemain dan persiapan penting untuk pasukan menghadapi UAE (Emiriah Arab Bersatu) pada 3 Jun nanti," kata Cheng Hoe.

Related Article