Trending
Bola

Gary perkuat Melaka United

MELAKA: Melaka United FC (MUFC) mendapat khidmat pemain tengah kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Gary Steven Robbat secara pinjaman bagi menghadapi baki 11 perlawanan Liga Super musim ini.

Perkembangan itu diumumkan kelab berkenaan dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook hari ini.

Gary, 28, yang dipinjamkan sehingga penghujung musim ini turut memperkenalkan dirinya dalam satu panggilan video pada akaun Facebook rasmi MUFC.

Dalam video berkenaan, beliau mengakui teruja untuk menyarung jersi skuad Hijau Putih serta berjanji memberikan yang terbaik bersama pasukan terbabit.

"Saya cukup gembira menjadi sebahagian daripada keluarga Melaka United musim ini. Saya akan memberikan komitmen 100 peratus di dalam semua perlawanan dan saya sudah tidak sabar lagi untuk bersama pasukan ini," katanya.

Apa yang menarik pengalaman luasnya dalam arena bola sepak tempatan bakal mencorakkan keupayaan lebih jitu buat barisan tengah pasukan bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan.

Gary yang juga antara produk skuad Harimau Muda sebelum menyertai JDT pada 2015, turut cemerlang mewakili skuad kebangsaan termasuk Bawah 21 (B-21), B23 dan pasukan Harimau Malaya.

Selain menyertai skuad Harimau Selatan, dia juga pernah diberi peluang berlatih bersama kelab Bundesliga, Borussia Dortmund.

Sebelum ini, Melaka turut menarik penyertaan dua pemain import baharu, Giovane Gomes dan Adriano Narcizo bagi menggantikan Alex dos Santos Goncalvez dan Stefan Nikolic di barisan serangan.

Related Article