Trending
Bola

Ifedayo hisap ganja ke? - TMJ

KUALA LUMPUR: "Lebah tidak membuang masa memberi keterangan kepada lalat iaitu madu lebih lazat daripada najis."

Demikian antara 'kata-kata hikmah' yang diberikan pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila menegaskan betapa skuad Harimau Selatan kini menjadi pasukan terbesar di negara ini.

Jelasnya, itu adalah fakta yang tidak dapat disangkal lagi namun Tunku Ismail tetap memberi kredit kepada Selangor FC yang sememangnya memiliki sejarah yang tersendiri.

"Mungkin dalam segi sejarah, Selangor lebih besar daripada JDT tetapi berdasarkan kedudukan semasa, JDT adalah pasukan terbesar dalam negara ini. Saya bagi contoh, berapa pusat latihan yang Selangor ada? JDT ada empat.

"Berapa stadium Selangor ada? JDT ada empat. Sekarang pernah atau tidak Selangor pada zaman kegemilangannya, menang Liga Super lebih daripada dua kali? JDT hatrik bukan sekali tetapi dua kali.

"JDT juga pernah menang liga sebanyak dua kali tanpa tewas. Rekod 75 perlawanan tanpa kalah di laman sendiri dan hari ini, belum tewas dalam 33 perlawanan di laman lawan. Selangor pernah menang pertandingan antarabangsa? JDT menang Piala AFC.

"Selangor pernah main di Liga Juara-Juara Asia (ACL)? JDT sudah main tiga kali. Bukan cerita zaman dulu masa belum ACL tetapi kedudukan sekarang pada senario bola sepak moden. Apa yang saya cakapkan ini adalah fakta dan bukan saya bercakap daripada hati.

"Saya rasa saya lebih tahu kelab mana lebih besar dalam negara ini. Bagaimana dengan apa yang JDT sudah kecapi dan dengan pencapaian ini, Selangor adalah pasukan lebih besar daripada JDT?

"Pada pandangan saya, tidak logik. Saya tak tahu apa dia hisap, dia hisap ganja ke?," kata Tunku Ismail menerusi satu temubual di Instagram, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang pernah dikeluarkan penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun yang sebelum ini menyatakan hanya The Red Giants yang boleh dianggap sebagai pasukan terbesar dalam kancah bola sepak negara.

Related Article