Trending
Bola

Jordan benam skuad Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya dibenam Jordan 4-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium King Abdullah II, Amman, Jordan, sebentar tadi.

Jordan jelas bukan lawan mudah buat pasukan kebangsaan apabila skuad Tan Cheng Hoe yang turun tanpa ramai tonggak utama yang beraksi pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Jun lalu diasak pasukan tuan rumah sepanjang permainan.

Jordan yang menduduki ranking ke-93 dunia menamatkan babak pertama dengan kedudukan selesa selepas mendahului dua gol hasil jaringan Ali Olwan pada minit ke-34 dan Odai Al-Saify minit ke-42.

Tidak sampai lima minit selepas bersambung babak kedua, Ali berjaya melengkapkan hatrik apabila penyerang berusia 21 tahun itu meledak dua gol pantas pada minit ke-47 dan ke-49.

Cheng Hoe membawa masuk beberapa pemain muda termasuk Luqman Hakim Shamsudin, Hakimi Abdullah dan Mukhairi Ajmal Mahadi pada babak kedua, namun kedudukan 4-0 kekal memihak Jordan.

Seterusnya skuad Harimau Malaya akan mengharungi aksi lebih getir apabila berdepan pasukan di ranking ke-84 dunia, Uzbekistan yang akan turut berlangsung di Amman, Sabtu ini.

Related Article