KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan mengejutkan pasukan Liga Super, Penang FC dengan kemenangan 2-1 dalam satu perlawanan persahabatan hari ini.
Dua pemain gantian berasal dari Terengganu beraksi cemerlang apabila menyumbang dua gol untuk skuad bimbingan Brad Maloney itu, seterusnya memastikan mereka mencatat kemenangan sulung pada aksi persahabatan menentang pasukan Liga Malaysia (Liga M) menjelang saingan kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbataar, Mongolia dari 25 hingga 31 Oktober ini.
Pada aksi yang berlangsung di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya, USJ 5 dekat Subang Jaya, pemain tengah Terengganu FC, Nik Akif Syahiran Nik Mat muncul wira skuad kebangsaan apabila meledak gol kemenangan pasukannya empat minit sebelum perlawanan tamat.
Terdahulu, pemain sayap, Mohammad Amer Azahar meletakkan Penang FC di depan menerusi jaringan pada minit ke-22 pada babak pertama sebelum gol jaringan pemain dari Terengganu FC II, Syafiq Ismail pada minit ke-71 berjaya mengikat kedudukan 1-1, selepas babak kedua perlawanan bersambung.
Pasukan negara sebelum ini tewas 1-2 kepada juara Liga Perdana, Negeri Sembilan FC pada aksi pertama persahabatan menentang pasukan Liga M Selasa lalu.
Skuad B-22 dijadual bertemu naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC Isnin ini sebelum berlepas ke Mongolia pada 20 Oktober.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J akan bertemu Laos pada 25 Oktober, Mongolia (28 Oktober) dan Thailand (31 Oktober) dalam usaha memburu slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun tahun depan. - BERNAMA