Trending
Bola

Gerrard enggan emosi di Anfield

LONDON: Steven Gerrard berjanji akan cuba mengawal emosi pada perlawanan pertamanya di Liverpool sebagai pengendali pasukan lawan selepas membawa Aston Villa untuk kemenangan ketiga daripada empat perlawanan pertamanya.

Exri Konsa meledak dua kali ketika Villa bangkit daripada jaringan pembukaan Harvey Barnes untuk kemenangan 2-1 ke atas Leicester dan Gerrard mengatasi skuad kendalian bekas pengurusnya di Liverpool, Brendan Rodgers dengan kelebihan perbezaan jaringan untuk berada dalam kelompok 10 teratas liga.

Tumpuan utama Gerrard kini adalah kunjungan Villa ke Anfield pada Sabtu. Gerrard mengharungi tempoh 17 tahun sebagai pemain skuad utama Liverpool dan salah seorang kapten terhebat mereka, tetapi ia tidak akan menjejaskan tumpuannya untuk mengatasi skuad kendalian Jurgen Klopp.

"Kami akan ke Anfield dan cuba memberi saingan untuk setiap mata ditawarkan. Daripada segi emosi, itu tugas saya untuk mengawalnya.

"Ia berkenaan pasukan dan mempersiapkan mereka dengan baik bagi mendapatkan keputusan. Ia bukan berkenaan saya. Jika ia dibuat oleh orang lain, saya tidak dapat mengawalnya, tetapi kami akan ke sana dengan keyakinan," kata Gerrard.

Babak pertama perlawanan menyaksikan jaringan Jacob Ramsey dibatalkan pengadil kerana bola sudah dianggap berada dalam kawalan penjaga gol Kasper Schmeichel ketika Ramsey menendangnya.

Insiden yang terpaksa dinilai menerusi VAR itu bagaimanapun tidak menjejaskan moral Villa yang bangkit memburu kemenangan di babak kedua. - AGENSI

Related Article