Trending
Bola

Kedah dapat suntikan 5 tenaga muda

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini mendapat suntikan tambahan apabila lima pemain muda yang disenaraikan baru-baru ini diyakini dapat meningkatkan lagi keupayaan pasukan pada aksi Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC pada musim depan.

Penyerang Afeeq Iqmal dan Fikhri Zulkiflee (pemain tengah) bersama tiga pemain pertahanan iaitu Kamil Akmal, Heshamudin Ahmad dan Fareez Amirul Fadzil sebelum ini beraksi dengan skuad Piala Presiden.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata penyertaan lima pemain muda boleh dianggap sebagai peluang terbaik buat mereka untuk membuktikan kemampuan dalam saingan Liga M musim depan.

"Mereka sudah berada di landasan tepat, namun perlu buktikan kemampuan seiring dengan cita-cita.

"Saya sudah melihat kesungguhan mereka sejak musim lalu dan saya yakin mereka akan berusaha gigih bersama beberapa pemain muda lain yang sudah bersama pasukan pada musim ini demi mencari kejayaan untuk Kedah pada musim depan.

"Apa yang mereka perlukan adalah bersedia meningkatkan tahap kecergasan tinggi dan tampil dengan mentaliti tepat untuk memajukan diri dalam karier bola sepak," katanya.

Aidil berkata dalam mengejar impian menjadi pemain utama, tiada jalan mudah selain perlu bekerja keras, tekun dalam usaha serta fokus pada latihan yang akan dijalankan disamping menunjukkan semangat bersaing dalam pasukan.

"Mereka perlu tingkatkan tahap kecergasan ke tahap terbaik dan bersedia bersaing bagi memastikan tempat dalam pasukan seperti pernah dilalui Fadzrul Daniel dan Fayadh Zulkifli sebelum ini," katanya.