Trending
Bola

Suhaimi tak dilamar JDT, masih bersama TFC

KUALA TERENGGANU: Penjaga gol utama Terengganu FC (TFC), Mohd Suhaimi Husin menafikan menyertai juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim depan dan sebaliknya mengesahkan sudah menyambung kontrak sebelum ini.

Bagaimanapun dia yang memulakan kariernya bersama kelab Terengganu, Hanelang FC pada 2014 sedia mempertimbangkan tawaran jika skuad Harimau Selatan itu benar-benar serius untuk mendapatkan khidmatnya.

"Setakat ini saya tidak dihubungi mana-mana pihak daripada JDT. Lagi pun saya sudah menandatangani kontrak bersama TFC. Tapi jika ada tawaran saya sedia timbang kerana bukan mudah untuk beraksi bersama skuad gergasi Liga M itu.

"Tapi jika tidak ada, fokus saya sudah pasti untuk membantu TFC memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia selain Piala FA serta mengintai peluang beraksi dalam saingan Piala AFC 2023," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu laporan yang tersebar menerusi media sosial menyatakan Mohd Suhaimi yang beraksi cemerlang bersama skuad TFC musim ini, antara pemain mendapat perhatian JDT untuk diikat Benjamin Mora pada musim depan.

Mengulas lanjut, bekas penjaga gol TFC II yang dinaikkan ke TFC musim ini selepas kecederaan Rahadiazli Rahalim, menjelaskan ada beberapa pasukan daripada Liga Super yang mahukan khidmatnya musim depan.

"Bagaimanapun saya terpaksa menolak tawaran itu secara baik kerana sudah bersetuju untuk kekal bersama TFC," katanya yang mengakui jika tawaran berkenaan datang lebih awal mungkin dia akan memikirkan lamaran berkenaan dengan sebaik-baiknya.

Related Article