Trending
Bola

Pahang masih tempang

KUANTAN: Sri Pahang FC mengekalkan senarai pemain sama ketika tewas 1-2 kepada Sabah FC pada 18 Jun lalu, apabila berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok. 

Pengendalinya, Christophe Gamel berkata, tiada sebarang perubahan memandangkan status kecederaan yang dialami beberapa pemain. 

"Saya boleh katakan bahawa tiada sebarang perubahan senarai pemain berdepan Negeri Sembilan kerana ada pemain yang belum pulih daripada kecederaan. 

"Tapi saya harap ia tidak mengganggu perancangan skuad ini untuk mencatat keputusan memberangsangkan di Paroi, malam esok. 

"Apa yang perlu dilakukan pemain ialah untuk mempamerkan persembahan terbaik mereka terutama di bahagian serangan dan pertahanan. 

"Sentuhan tiga import baharu ditagih untuk membantu pasukan memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super," katanya. 

Ketika ini, Sri Pahang berdepan masalah kecederaan yang dialami tiga pemain utama iaitu Nor Azam Azih, David Rowley dan Abdul Malik Mat Ariff. 

Ditanya peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata, Gamel berkata, disiplin tinggi dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan akan menentukan keputusan. 

Katanya, ini kerana pasukan tuan rumah berada pada prestasi terbaik yang memerlukan anak buahnya bekerja keras. 

Related Article