Trending
Bola

Jaringan Messi buat penyokong lawan kagum

PARIS: Lionel Messi meledak dua kali di babak kedua, termasuk jaringan akrobatik, ketika Paris Saint-Germain memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Ligue 1 dengan kemenangan 5-0 ke atas Clermont.

Neymar turut cemerlang untuk skuad PSG, yang tidak terjejas dengan ketiadaan Kylian Mbappe akibat kecederaan, dengan bintang Brazil itu membuka jaringan di Clermont sebelum mengumpan bola untuk gol Achraf Hakimi dan Marquinhos sebelum rehat.

Messi kemudian bermain satu dua dengan Neymar sebelum meledak gol keempat pelawat ketika permainan berbaki 10 minit.

Kemuncaknya ialah apabila Messi mengawal hantaran Leandro Paredes dengan dadanya sebelum melibas bola ke gawang yang berada di belakangnya.

Jaringan itu membuatkan penyokong tuan rumah di Stade Gabriel-Montpied menyanyikan nama pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu, yang mengharungi musim pertama kurang memberangsangkan di Paris.

Pengendali baharu PSG Chrostophe Galtier meraih kemenangan liga pertamanya walaupun tanpa kelibat Mbappe yang tidak mengikut pasukan kerana kecederaan.

Mbappe turut terlepas aksi pembuka tirai Trofi Juara-Juara minggu lalu kerana penggantungan, di mana PSG menewaskan Nantes 4-0.

Messi membuka jaringan pada aksi berkenaan, manakala Neymar meledak dua gol.

Kedua-duanya kini bergabung menyumbang enam gol musim ini, dengan PSG kelihatan berada pada prestasi terbaik mereka.

"Tidak dinafikan kami mempunyai ramai pemain berbakat tetapi apa yang saya mahukan ialah usaha bersama untuk mendapatkan kembali bola secepat mungkin, bermain dengan intensiti tinggi.

"Skuad amat memberangsangkan sejak saya tiba. Mereka suka bekerja keras bersama, dan berseronok bersama. Tetapi musim masih panjang. Ini baru perlawanan pertama," kata Galtier. - AFP

Related Article