Trending
Bola

JDT sudah boleh angkat piala

KUALA LUMPUR: Walaupun masih perlu mengharungi tujuh perlawanan lagi, Johor Darul Ta'zim (JDT) dianggap sudah 100 peratus akan terus mempertahankan kejuaraan Liga Super buat tahun kesembilan berturut-turut sejak 2014.

Jangkaan itu disuarakan beberapa pemerhati bola sepak tempatan, malah ada yang menyifatkan Harimau Selatan mungkin boleh mengesahkan kejuaraan lebih awal sebelum berakhir saingan musim ini.

Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan menjelaskan JDT sukar untuk digugat berdasarkan prestasi yang dipamerkan anak buah Hector Bidoglio sepanjang musim ini.

"Kalau kita tengok dengan pemain dan fasiliti yang mereka ada, memang kita akui bahawa JDT berada pada kelas berbeza berbanding pasukan lain. Jadi kalau kita katakan juara, sudah tentu juara ada pada mereka.

"Mereka mendominasi setiap perlawanan berdepan pasukan lain (dalam Liga Malaysia), jadi boleh dikatakan 100 peratus (JDT akan jadi juara Liga Super).

"JDT melakukan perubahan yang baik pada musim ini terutama dalam pengambilan pemain baharu. Kalau kita katakan (faktor) kewangan, tak semestinya ada kewangan banyak tapi kalau tak pandai urus tak jadi juga.

"Kita kena lihat juga bagaimana pasukan itu urus kewangan mereka dan mendapatkan pemain yang bagus. Kita kena bersaing dan pasukan lain jangan cemburu dengan apa yang JDT ada," katanya kepada BH Sukan.

JDT yang membenam Melaka United 4-0, kelmarin berada di persada liga dengan mengumpul 41 mata selepas 15 perlawanan, enam mata di depan pasukan tangga kedua, Sabah.

Malah, JDT yang akan beraksi di final Piala FA berdepan Terengganu FC, 10 September ini juga masih memiliki satu perlawanan dalam tangan selepas Sabah sudah beraksi 16 perlawanan dan mengumpul 35 mata.

Sementara itu, pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menyifatkan dengan skuad yang JDT ada ketika ini, Harimau Selatan mampu menyapu bersih semua pertandingan termasuk Piala FA dan Piala Malaysia.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata, ia kerana JDT kini boleh memberi fokus sepenuhnya kepada saingan domestik selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara Asia (ACL).

"Saya rasa JDT tiada kekangan lagi dan mereka perlu menghabiskan baki tujuh perlawanan dalam liga untuk jadi juara. Malah, mungkin lebih cepat selepas empat atau lima perlawanan lagi.

"Walaupun Sabah memberi cabaran, namun dari segi kualiti pemain dan perbezaan gol, ia jelas memihak JDT. Sabah juga sudah beraksi lebih satu perlawanan dan itu kelebihan buat JDT," katanya.

Sementara itu, Azlan Johar menganggap 98 peratus trofi Liga Super akan terus kekal di bumi Johor tahun ini.

Katanya, ia berdasarkan persembahan konsisten yang dipamerkan Harimau Selatan sepanjang musim ini.