Trending
Bola

Peluang Selangor kembali pulih reputasi

KUALA LUMPUR: Selepas empat kekalahan berturut-turut dilakar Selangor FC termasuk diaibkan pasukan tanpa pemain import, PJ City FC, barangkali 'mood' penyokong sudah 'jatuh' ke tahap terendah pada musim ini.

Mana tidaknya, melihat kepada komen penyokong pada akaun rasmi media sosial Selangor, kebanyakannya sudah mengangkat bendera putih menjelang aksi berdepan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Menyusuri komen penyokong, ada yang seakan berputus asa untuk menonton perlawanan ini sehingga mengatakan pasukan kesayangan mereka itu pasti dibelasah JDT selain menyarankan SFC beraksi dengan formasi 10-1.

Tidak kurang juga ada yang mengganggap kalah tanpa dibolosi besar adalah satu rahmat dan ada pula menulis mereka tidak perlu menonton perlawanan ini kerana sudah tahu Red Giants akan menjadi 'lauk'.

Sampai begitu sekali impaknya prestasi hambar ditunjukkan skuad yang ketika ini dibimbing Nidzam Jamil ini sehingga kebanyakan penyokong lebih berpandangan negatif - namun masih ada lagi yang optimis dengan kemampuan Selangor

Mungkin juga penyokong sudah pasrah memandangkan mereka sedar betapa lawan mereka pada malam ini, skuad Harimau Selatan begitu jauh ke depan berbanding Selangor yang dilihat masih terkial kial tersekat di 'takuk' lama.

Apapun, kebimbangan penyokong skuad The Red Giants itu berasas terutama selepas melihat rekod pertembungan kedua-dua pasukan selain prestasi semasa ditunjukkan pada musim ini.

Kali terakhir Selangor menewaskan JDT dalam Liga Super adalah pada 2017, namun selepas itu, gagal meraih sebarang kemenangan dalam lapan pertembungan yang menyaksikan mereka seri dua kali dan tewas enam kali.

Sepanjang pertembungan terbabit, mereka pernah dibelasah sehingga 6-1 dan 5-1 dan ini bukanlah satu keputusan yang 'selayaknya' diterima oleh pasukan berstatus gergasi seperti SFC.

Tanpa kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, mereka akan berdepan JDT yang ketika ini menang enam perlawanan berturut-turut, satu perbandingan yang jelas bagaikan langit dan bumi jika dinilai di atas kertas.

Jadi, terpulang kepada pemain Selangor di atas padang nanti sama ada untuk memastikan perlawanan ini sengit sesuai dengan tarafnya sebagai pertembungan dua gergasi tempatan.

Ataupun Selangor sekadar membiarkan JDT menjadikan perlawanan ini seperti 'perlawanan latihan' buat mereka di mana satu lagi kemenangan besar terhasil malam ini?

Bagi satu lagi aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, pertembungan antara Terengganu FC (TFC) menentang Melaka United FC boleh dianggap sebagai pra final terakhir sebelum berdepan JDT di final Piala FA, minggu depan.

Dengan aksi final pasti berada dalam fikiran pemain skuad Penyu, faktor ini mungkin menyebabkan pemain mereka lebih berhati-hati dan menjaga kaki kerana tidak mahu mengalami kecederaan sekali gus terlepas aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Pengendalinya, Nafuzi Zain juga pasti berdepan dilema untuk menggunakan atau pun 'menyimpan' tonggak di sebalik persediaaan untuk menurunkan kesebelasan utama terbaiknya untuk berdepan JDT nanti.

Nafuzi pasti enggan kehilangan tonggaknya akibat kecederaan pada perlawanan malam ini, jadi menarik untuk menyaksikan percaturan yang akan digunakan Nafuzi untuk mengharungi aksi terbabit.

Dengan 'ketidaktentuan' oleh TFC ketika ini - tiga mata di Liga Super ataupun final Piala FA - perkembangan ini seharusnya dimanfaatkan skuad Hang Tuah untuk mengutip tiga mata selepas gagal meraih kemenangan dalam tiga aksi terakhir.

Keputusan

Sabah FC 2-2 KL City

Hari ini

TFC mln Melaka Utd

Std Sultan Mizan 9 mlm

Selangor mln JDT

Std MBPJ 8.15 mlm

Kedudukan PMSKJBMt
JDT15132043741
Sabah171133281636
N Sembilan17953241432
TFC16826201626
KL City16646222722
Sri Pahang17638262621
Kedah14536192518
Melaka United15456202317
Selangor15447262616
PJ City17377162716
Sarawak United174211153714
Penang16141119347