KUALA LUMPUR: Ketika ramai penyokong meramalkan Dion Cools akan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT), namun pertahanan Harimau Malaya itu terus kekal di Eropah apabila mengikat kontrak bersama pasukan Liga Republik Czech, FK Jablonec.
Perkembangan itu diumumkan pasukan itu semalam selepas kelab baharu pemain berdarah kacukan itu 'dibocorkan' Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi panggilan ke kem latihan pusat sebagai persiapan ke Piala Raja Thailand 2022, minggu depan.
Pemain berusia 26 tahun itu menyertai kelab yang beraksi dalam saingan utama Republik Czech selepas membatalkan kontraknya bersama FC Midtjylland, minggu lalu.
Mengulas mengenai perpindahannya, Cools menjelaskan keputusan itu dibuat bagi mendapatkan minit permainan yang sudah pasti akan membantu untuk meningkatkan lagi mutu permainannya.
"Pasukan lama saya memutuskan untuk menukar sistem permainan yang berbeza di mana mereka tidak dapat memberi jaminan untuk minit permainan kepada saya.
"Bagi saya, apa yang penting adalah saya dapat bermain dan sebab itulah saya bersetuju untuk menyertai FK Jablonec. Saya sudah bercakap dengan jurulatih dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan semua orang dalam pasukan ini.
"Saya menantikan cabaran baharu dan saya percaya saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat di sini. Saya mahu membantu pasukan mencatat keputusan yang baik dengan persembahan saya," katanya.
Selepas mengharungi lapan perlawanan setakat ini, skuad bimbingan David Horejs itu menduduki tangga ke-13 daripada 16 pasukan.
Sebagai rekod, Cools pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti OH Leuven, Club Brugge serta Zulte Waregem.