Trending
Bola

Zamsaham impi TRW miliki pesawat sendiri

KUALA LUMPUR: Kelantan FC terus mengorak langkah ke depan apabila berkemungkinan memiliki pesawat sendiri sebagai pengangkutan buat pasukan itu.

Ia susulan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dilaporkan memasang impian untuk membeli pesawat sendiri bagi memudahkan pergerakan pasukan bertandang ke gelanggang lawan.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham berkata, kelab juga boleh menggunakan pesawat berkenaan untuk menjana pendapatan lain sekiranya tiada perlawanan.

"Kita selalu melakukan perjalanan ke Sarawak, Sabah dan perjalanan ini amat memenatkan. Jadi apa kata mungkin satu hari ini nanti (kelab ada pesawat sendiri), setiap orang tak salah untuk ada impian, angan-angan dan cita-cita.

"Mungkin kita boleh beli satu pesawat peribadi, tapi bukan yang baharu, kita beli yang terpakai. Saya pun sudah semak melalui seorang kapten yang bawa pesawat peribadi.

"Mungkin ia memberi impak yang positif sebab kita tak perlu lagi membayar RM30,000 atau RM50,000 untuk satu perjalanan sebab ramai nak bawa 30 orang.

"Jadi kita beli yang besar sedikit, kalau setahun 50 kali terbang sana sini kita ada pesawat kita sendiri. Kalau tak ada perlawanan kita boleh sewakan," katanya.

Kelantan menamatkan saingan musim lalu sebagai naib juara Liga Perdana di belakang Johor Darul Ta'zim II dan skuad The Red Warriors (TRW) itu akan berdepan cabaran lebih besar musim ini selepas semua pasukan akan bersaing dalam Liga Super.