Trending
Bola

Dengan nama Allah saya tak cemburu - TMJ

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak cemburu dengan pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu.

Ia susulan kenyataan Tunku Ismail sebelum ini yang mempertikai kos pembinaan stadium berkenaan yang membabitkan kos lebih RM700 juta.

Tunku Ismail sebaliknya menjelaskan bahawa beliau musykil dengan kos pembinaan itu yang dianggap terlalu murah sedangkan ia membabitkan penggunaan kelengkapan berteknologi canggih.

Menerusi kenyataan di Instagram Story miliknya, hari ini, beliau membandingkan kos pembinaan Singapore Sports Hub yang didakwa menelan belanja sebanyak RM4.2 bilion pada 2014 dan berkeluasan 35 hektar.

Malah, Tunku Ismail juga menunjukkan bahawa kos penyelenggaraan Singapore Sports Hub amat tinggi iaitu sebanyak RM219 juta setahun.

"Kalau Singapore Sports Hub pun pembinaan dan penyelenggaraan setinggi itu, bagaimana stadium mempunyai teknologi yang lebih canggih lagi murah.

"Ini adalah kos Singapore Sports Hub untuk saiz 35 hektar, bayangkan kos untuk projek bersaiz 76 hektar. Kalau SNBJ (Stadium Nasional, Bukit Jalil) pun kerajaan 'negara' terkial-kial nak menyelenggara, apatah lagi kerajaan negeri.

"Dengan nama Allah saya tak cemburu. Saya hanya musykil dan juga tak suka rakyat diperbodohkan," tulisnya.

Sebelum ini, Tunku Ismail menganggap kos lebih RM700 juta untuk pembinaan Stadium Shah Alam yang baharu sebagai tidak logik sambil menyifatkan projek itu sepatutnya menelan belanja sekurang-kurangnya RM2 bilion.