Trending
Bola

Faktor Melaka FC, Sarawak United dibenarkan beraksi di Liga M3

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Amatur (AFL) membuat keputusan membenarkan Melaka FC dan Sarawak United beraksi dalam kancah liga separuh profesional, Liga M3 demi memastikan pembangunan bola sepak di negeri terbabit tidak terkubur.

Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan bahawa Melaka FC adalah entiti berbeza dengan Melaka United FC (MUFC) yang tidak diberikan lesen untuk bersaing dalam Liga Super musim ini kerana isu kewangan.

Beliau berkata, Melaka FC yang berstatus sebagai pasukan negeri juga menjadi antara faktor pasukan itu diberikan slot bermain di Liga M3 dan bukannya di liga lebih rendah.

"Ia berlaku juga macam Perlis (United) dahulu, Perlis pun dulu tak boleh main apabila dia ada penggantungan dari FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan sebagainya.

"Kita tak mahu bola sepak mati dekat negeri itu. Kalau kita tak benarkan, sampai hari ini Perlis tak ada pasukan, tak bermain dalam liga kompetitif.

"Kita fikir akan membantutkan (pembangunan), kalau kita tak benarkan negeri bermain dan pasukan negeri tak ada tempat untuk mewujudkan pembangunan di peringkat negeri. Atas faktor itu kita benarkan Sarawak United dan Melaka FC bermain dalam Liga M3," katanya.

Selain itu, Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan hutang membabitkan MUFC adalah tanggungjawab pasukan itu.

Beliau bagaimanapun berkata, hutang MUFC tiada kaitan dengan Melaka FC kerana dua pasukan itu juga adalah dimiliki pihak berbeza.

"Setakat ini memang tak ada perkembangan apa akan berlaku kepada MUFC. Tetapi saya fikir kalau tak dapat menyelesaikan (hutang), tentu ada langkah undang-undang yang akan diambil oleh pihak yang akan menuntut dan MUFC mesti bertanggungjawab kepada semua hutang mereka," katanya.