PETALING JAYA: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan Gon mengesahkan skuad bimbingannya akan berdepan bekas pasukannya, Hong Kong dalam aksi persahabatan, bulan depan.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata skuad Harimau Malaya akan berdepan Turkmenistan dalam satu lagi aksi persahabatan dengan kedua-duanya akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Baharu.
Beliau menetapkan strategi untuk berdepan satu pasukan di ranking lebih tinggi dan satu lagi pasukan setaraf Harimau Malaya dalam aksi persahabatan itu bagi memastikan skuad Harimau Malaya kekal berada dalam kelompok 25 terbaik pasukan Asia.
Katanya, kedudukan dalam kelompok itu penting bagi mengelak pasukan kebangsaan terpaksa beraksi dalam pusingan playoff kelayakan Piala Dunia 2026, hujung tahun ini.
"Buat masa ini kita berada ranking ke-25 negara terbaik Asia manakala Hong Kong pula di tempat ke-26. Jika kita mahu elak daripada aksi playoff kelayakan Piala Dunia 2026, kita perlu kekalkan kedudukan itu.
"Kekuatan Hong Kong seimbang dan kali ini difahamkan mereka bersedia untuk menurunkan barisan terbaik untuk menentang Harimau Malaya nanti.
"Malah, difahamkan mereka akan memanggil pemain yang beraksi di Liga China yang tidak di bawa ketika tewas kepada Malaysia tahun lalu.
"Jadi saya jangka saingan sengit akan diraih dan pemain akan dapat satu pengalaman terbaik daripada aksi itu nanti " katanya pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.
Skuad Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-145 pernah menewaskan Turkmenistan (ranking ke135 dunia) 3-1 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.
Hong Kong yang berada ranking ke-146 juga pernah menjadi 'mangsa' Harimau Malaya apabila tewas 0-2 dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional pada awal pelantikan Pan Gon sebagai jurulatih negara, tahun lalu.
Mengulas mengenai strategi memilih lawan dalam aksi persahabatan, Pan Gon menganggap ia langkah terbaik dalam memastikan keputusan perlawanan itu memberikan impak positif kepada skuad Harimau Malaya.
"Saya percaya ini adalah strategi yang bagus kerana jika kita menang satu perlawanan dan tewas satu lagi aksi pun, ia masih dianggap bagus untuk mengekalkan ranking semasa," katanya.