Trending
Bola

Abey mahu tebus kesilapan temu JDT

KUALA TERENGGANU: Gagal melaksanakan tugas dengan lebih baik pada aksi final Piala FA musim lalu ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) masih lagi berbekas buat penjaga gol muda Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Justeru penjaga gol berusia 22 tahun kelahiran Setiu itu berazam menebus kembali kesilapan lalu apabila pasukannya sekali lagi bakal membuat perhitungan dengan JDT pada aksi sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, Jumaat ini.

Pemain yang lebih mesra disapa 'Abey' itu menjelaskan, jika diturunkan dalam kesebelasan utama, dia sudah bersedia 200 peratus untuk berdepan dengan gergasi Liga Malaysia (Liga M) yang juga juara lima kali berturut-turut Piala Sultan Ahmad Shah itu.

"Sejujurnya aksi final Piala FA musim lalu masih lagi segar dalam ingatan ketika kami tewas 1-3 kepada pasukan Harimau Selatan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Justeru, jika saya diturunkan dalam kesebelasan utama sekali lagi, sudah pasti saya berazam memperagakan aksi terbaik bagi menebus kembali kesilapan lalu.

"Walaupun beraksi di tempat lawan, kami tidak sesekali gentar, lagipun dalam sukan bola sepak apa-apapun boleh terjadi, sejarah sudah membuktikan kami pernah menumpaskan skuad itu 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 2021," katanya yang bakal bersaing dengan tiga lagi penjaga gol termasuk Suhaimi Hussin untuk merebut posisi nombor satu pasukan.

Ketika ditanya keserasiannya bersama rakan sepasukan terutama di posisi pertahanan, pemain yang kini berguru dengan jurulatih penjaga gol kelahiran Croatia, Domagoj Malovan dan bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Syamsuri Mustafa akui semakin serasi.

"Selepas hampir tiga bulan menjalani latihan bersama, kami semakin serasi, malah komunikasi antara pemain juga tiada masalah walaupun bek tengah kelahiran Uzbekistan, Sardor Qulmatov tidak fasih berbahasa Inggeris, tapi dia pemain berpengalaman dan semestinya memahami bahasa bola sepak," katanya yang mahu merangkul trofi pertama pada musim ini.

Berdasarkan rekod, Terengganu hanya sekali merangkul trofi Piala Sultan Ahmad Shah pada 2001 ketika bawah kendalian Mat Zan Mat Aris selepas menumpaskan Perak 4-0 hasil jaringan Mohd Marzuki Yusuf, Faziallah Mamat, Rosdi Talib dan Sapian Wahid manakala penjaga gol ketika itu adalah Mohd Syamsuri yang masuk menggantikan Zuber Ibrahim yang cedera.