KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) membuktikan status pasukan pilihan untuk terus mempertahankan kejuaraan Liga Super apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Ia kemenangan kedua dilakar Harimau Selatan selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0 pada aksi sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat lalu.
JDT yang mendominasi sebahagian besar permainan bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-41 untuk berada di depan apabila pemain KL City, Romel Morales tertampan bola ke gawang sendiri.
Hanya enam minit selepas bersambung babak kedua, Endrick Dos Santos menambah gol kedua JDT apabila menanduk masuk bola hantaran Fernando Forestieri.
Pemain Paling Bernilai (MVP) musim lalu, Arif Aiman Hanapi kemudian mengesahkan kemenangan bergaya JDT selepas menyudahkan hantaran Ramadhan Saifullah Usman pada minit ke-90.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari naik ke kelompok dua teratas, berkongsi enam mata bersama Sabah yang turut merekodkan kemenangan bersih dalam dua aksi awal Liga Super.