SEREMBAN: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan mengakui pasukannya tidak berupaya menandingi kehebatan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mencapai status pasukan paling sempurna dalam Liga Malaysia (Liga M).
Selain tampil sebagai juara sembilan kali Liga Super, JDT juga memiliki hampir semua pemain berkualiti tinggi dan turut beraksi di pentas yang kompetitif di peringkat kelab bola sepak Asia serta dinobatkan selaku kelab ke-15 terbaik di Asia dan pertama di Asia Tenggara tahun lalu.
"Kita kalah kepada pasukan paling sempurna di negara ini dan jika hendak dibandingkan kualiti kita dengan mereka, jauh berbeza. Hari ini kita nampak jurang perbezaan antara JDT dengan Negeri Sembilan.
"Kita baru tubuh pasukan ini dua tiga tahun dan sedang dalam proses membentuk sebuah pasukan yang kuat berbanding JDT yang sudah sembilan kali juara dan beraksi dalam perlawanan kompetitif di peringkat Asia dan ASEAN.
"Kualiti pasukan JDT sememangnya diakui dan jika kita hendak menandingi mereka, mungkin kita memerlukan 10 tahun lagi," kata Devan selepas perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.
Dalam perlawanan ketiga Liga Super bagi kedua-dua pasukan, Negeri Sembilan menerima kejutan apabila tewas 7-0 di tangan JDT.
Gol-gol skuad Harimau Selatan dijaringkan Fernando Forestieri pada minit ke-21 dan 49, Diogo Luis Santos (m-41), Ariff Aiman Mohd Hanafi (m-53), La'vere Corbin-Ong (m-67, 88) dan Endrick dos Santos (m-72).
Mengulas lanjut, Devan berkata, faktor keletihan terutama pada babak kedua turut mempengaruhi persembahan anak buahnya kerana beraksi tiga perlawanan dalam tempoh sembilan hari termasuk menentang Penang FC di tempat lawan.
"Skuad kita bukan besar seperti JDT untuk buat pertukaran pemain dan juga import Negeri Sembilan tidak mengalami proses pramusim yang baik kerana mereka tiba lewat dan kuota import juga tidak cukup.
"Pemain dilihat keletihan dengan intensiti perlawanan begitu pantas dan laju dan pemain Negeri Sembilan tidak dapat menyaingi tempoh permainan berkenaan.
"Namun, saya perlu melihat keseluruhan perlawanan untuk kenal pasti kesilapan terutama pada babak kedua apabila kita dibolosi dengan lima gol," katanya.
Pengendali berpengalaman itu juga menegaskan jentera serangan skuad Hobin Jang Hobin yang menggandingkan Casagrande dan Mahali Jasuli tidak efektif manakala pertahanan kental, Herold Mark Goulon tidak beraksi sekali gus sukar untuk bertahan lama.
"Memang kita sudah jangka sukar mendapat mata dalam perlawanan dengan JDT, tapi kekalahan besar 7-0 bukan senang untuk diterima.
"Namun, kita akan berusaha memperbaiki kelemahan dan berusaha mendapatkan mata dalam aksi berikutnya," kata pengendali kelahiran Bahau itu.