Trending
Bola

Dua pemain naturalisasi turut dipanggil perkuat Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Dua pemain naturalisasi, Paulo Josue dan Endrick Dos Santos serta pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine bakal membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.

Ia selepas mereka menjadi antara lapan muka baharu yang dipanggil ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk menyertai kem latihan pusat bermula Sabtu ini.

Josue yang beraksi di bahagian tengah mempamerkan persembahan cemerlang bersama KL City FC terutama musim lalu selepas membawa skuad itu mencipta sejarah muncul naib juara Piala AFC buat kali pertama.

Dos Santos pula mula menunjukkan taring bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) musim ini dengan dia sudah meledak tiga gol dalam Liga Super setakat ini dan berkongsi kedudukan teratas carta penjaring terbanyak bersama Arif Aiman Hanapi (JDT), Fernando Forestieri (JDT), Noor Al Rawabdeh (Selangor) dan Saddil Ramdani (Sabah).

Sementara itu, Laine yang baru berusia 21 tahun dan turut beraksi di posisi tengah, bermain dalam liga Finland bersama kelab, SJK Seinajoki.

Lima lagi muka baharu turut melengkapkan senarai 27 pemain yang dipanggil Pan Gon bagi kem latihan kali ini termasuk penjaga gol Damien Lim, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting dan Feroz Baharudin.

Berdasarkan senarai berkenaan, jurulatih dari Korea Selatan itu mengekalkan seramai sembilan daripada 23 pemain yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala AFF 2022 pada Januari lalu.

Sementara itu, 13 pemain termasuk Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero, Lee Tuck, Nathaniel Shio Hong Wan, Afiq Fazail dan Sharul Nazeem Zulpakar berada dalam senarai bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 27 pemain.

Skuad Harimau Malaya akan berkampung di pusat latihan JDT di Johor Baharu bermula Sabtu ini bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa berdepan Turkmenistan dan Hong Kong.

Dua aksi itu juga akan berlangsung di gelanggang keramat Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim pada 23 dan 28 Mac ini.

Kem latihan dan aksi persahabatan itu sebagai persiapan awal buat Pan Gon membentuk skuad terbaik bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar awal tahun depan.

Senarai 27 pemain -

1. Ahmad Syihan Hazmi Mohamed

2. Shahrul Saad

3. La'vere Corbin Ong

4. Arif Aiman Hanapi

5. Akhyar Rashid

6. Matthew Davies

7. Syafiq Ahmad

8. Syahmi Safari

9. Syamer Kutty Abba

10. Feroz Baharudin

11. Endrick Dos Santos

12. Darren Lok

13. Dominic Tan

14. Stuart Wilkin

15. Daniel Ting

16. Damien Lim

17. Brendan Gan

18. Faisal Halim

19. Quentin Cheng

20. Ahmad Khuzaimi Piee

21. Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi

22. Fayadh Zulkifli Amin

23. Nor Azam Azih

24. Paulo Josue

25. Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman

26. Dion Cools

27. Nooa Laine