Trending
Bola

Zulkarnain jadi bahan kritikan, kecaman lagi

KUALA LUMPUR: Pengadil, Zulkarnain Zakaria sekali lagi menjadi bahan kritikan dan kecaman beberapa pihak terutama peminat bola sepak tempatan susulan beberapa keputusan yang dibuatnya ketika aksi Liga Super antara Sabah dan Penang di Stadium Likas, semalam.

Paling menjadi tumpuan apabila Zulkarnain memberikan lima sepakan penalti termasuk tiga kepada Sabah dan dua buat Penang.

Pertikaian bermula ketika dia memberikan sepakan penalti kepada Sabah pada minit ke-45 yang menyaksikan Darren Lok berjaya meletakkan pasukannya mendahului 2-1 pada babak pertama.

Sepakan penalti yang diberikan kepada Penang dan disudahkan Adriano pada minit ke-90 turut dipersoal selepas terjahan yang dilakukan pemain Sabah ke atas pemain Penang didakwa berlaku di luar kotak penalti.

Selepas itu, Sabah pula diberikan sepakan penalti pada masa kecederaan dan ia turut dipertikai beberapa pemain Penang dengan penjaga gol, Khatul Anuar Md Jalil seakan memprotes penalti itu apabila hanya berdiri di atas garisan gol ketika sepakan penalti dilakukan Gabriel Peres.

Bagaimanapun, sepakan penalti Peres sekadar menggegar palang dan hanya beberapa saat selepas itu Sabah sekali lagi diberikan penalti apabila pemain Penang didakwa mengasari pemain Sabah.

Ia terus mencetuskan situasi 'panas' pemain Penang di atas padang dan Khatul juga dilihat hanya berdiri di atas garisan gol tanpa melakukan tindak balas terhadap sepakan penalti diambil Rizal Ghazali untuk meledak gol kelima Sabah dan mengesahkan kemenangan 5-2 skuad Badak.

Suasana panas itu tidak terhenti selepas perlawanan berakhir dengan ia berlanjutan di media sosial dengan ramai peminat mengkritik mutu pengadilan Zulkarnain pada perlawanan itu.

Ini bukan kritikan pertama dilemparkan beberapa pihak ke atas Zulkarnain yang mana pada musim lalu juga dia mencetuskan kemarahan kem Selangor yang mempertikaikan mutu pengadilannya.