Trending
Bola

Vida perlu hantar surat jika berminat

Kuala Lumpur: Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia berunding dengan Datuk Seri Vida sekiranya usahawan kosmetik itu benar-benar serius mahu mengambil alih Kelantan FC.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bagaimanapun menjelaskan Vida perlu mengemukakan surat secara rasmi kepada pihaknya terlebih dahulu.

Dia berkata, selepas itu barulah rundingan lebih serius boleh dilakukan termasuk mengenai berapa nilai penjualan bagi pasukan The Red Warriors (TRW).

"Kalau dia (Vida) sedia nak ambil alih, tak payah susah-susah, hantar surat kepada saya. Nyatakan berapa nilai dan kita boleh muktamadkan kalau dia betul-betul bersungguh.

"Syaratnya dia hantar satu surat seperti yang saya lakukan ketika nak beli Kelantan FC dulu yang mana saya berhubung dengan KAFA. Jadi kalau betul sungguh-sungguh dia boleh terus hubungi saya.

"Jika dia bersungguh-sungguh saya pun suka. Apa yang penting hantar surat tawaran yang menyatakan bahawa dia berminat. Hantar surat dulu dan dari situ kita berunding (nilai penjualan)," katanya kepada BH Sukan, semalam.

Kelmarin, Vida atau nama sebenarnya Datuk Seri Hasmiza Othman dilaporkan bahawa dia bersedia mengambil alih Kelantan FC daripada Norizam.

Vida menjelaskan usaha untuk mengambil alih TRW demi menyelamatkan pasukan itu yang ketika ini didakwa berdepan masalah termasuk isu kewangan.

Vida juga bercadang untuk meletakkan anaknya Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin atau Kacak bagi menguruskan pasukan itu sambil mengakui hasratnya untuk mengambil alih Kelantan bukan main-main.

"Kalau jadi, anak saya yang akan uruskan pasukan Kelantan kerana saya lihat anak saya amat minat dengan bola sepak. Saya percaya Kacak boleh membawa semula kegemilangan TRW yang dah hilang sekarang ke tahap membanggakan," kata Vida.