KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 pasukan bakal bersaing pada edisi kedua Kejohanan Bolasepak Liga Super Wanita Kuala Lumpur (KLWSL) 2023 yang akan bermula esok hingga 15 Oktober.
Pengarah Program KLWSL, Khushairi Aizad, berkata kejohanan itu adalah platform terbaik untuk golongan wanita mengasah dan mencungkil bakat dalam sukan bola sepak.
"Liga ini akan memberi impak positif terhadap pembangunan bola sepak wanita di Malaysia. Promosi dan publisiti yangtelah dilakukan akan membuka mata banyak pihak untuk menyokong KLWSL ini untuk bergerak maju lagi ke hadapan," katanya ketika sidang media selepas perasmian KLWSL 2023 di sini, hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Turut hadir, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Penaung KLWSL.
Musim baharu kali ini akan menampilkan 10 pasukan antaranya KL Sunbears FC, Setiawangsa Rangers FC, Galaxi Sosial Team, Wangsa Maju City FC, Spicegals FC.
Turut beraksi ialah Sternen FC, dari Selangor, PJ Kita dan Japan Malaysia FC selain wakil dari Negeri Sembilan, Mixstars FC dan Kelantan FA dari Kelantan.
Venue pertandingan bagi saingan peringkat kumpulan akan diadakan di Kompleks Sukan MSN Setiawangsa dan Mini Stadium Setiawangsa.
Bagi saingan peringkat suku akhir, separuh akhir dan akhir akan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Hadiah kemenangan terkumpul sebanyak RM30,000.00 menjadi rebutan semua pasukan untuk bersaing dalam KLWSL 2023.