Trending
Bola

'Tendang keluar' pasukan jalan terakhir selesai masalah

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sama sekali tidak mahu 'menendang' mana-mana pasukan dari Liga Malaysia (Liga M) namun ia adalah langkah terakhir jika mereka terus terpalit dengan isu tunggakan gaji dan gagal menyelesaikannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam menegaskan tindakan untuk tidak memberikan lesen kebangsaan kepada pasukan yang culas menyelesaikan tunggakan gaji seperti Sarawak United dan Melaka United sebelum ini terpaksa dilakukan selepas beberapa kali diberikan peringatan.

"Kita mahu setiap pasukan memulakan musim di luar hutang dan seperti sedia maklum, MFL membuat keputusan tegas apabila memastikan dua pasukan bermasalah tidak menerima lesen kebangsaan iaitu Sarawak United dan Melaka United.

"Itu adalah tindakan terakhir apabila kita perlu melaksanakan tindakan selepas beberapa peringatan dan langkah untuk memastikan masalah itu dapat diselesaikan.

"Bukan niat MFL untuk menendang keluar pasukan tetapi ini adalah integriti liga dan kestabilan semua pasukan di sini. Mana-mana pasukan yang bermasalah jadi stigma kepada pasukan lain yang tidak bermasalah.

"Kita harus memastikan integriti liga sentiasa diutamakan dan kami sentiasa memberikan kerjasama dan bantuan kepada mana-mana pasukan dengan sepenuh hati," kata Stuart.

Dalam perkembangan lain, Stuart juga mengharapkan Kelantan FC dapat memahami isu tunggakan gaji dihadapi pasukan itu dengan serius dan dapat menyelesaikan masalah terbabit sebelum hujung musim ini.

"MFL serius mengenai isu ini dan kami harap kita tidak akan kehilangan pasukan pada Oktober nanti. Dengan hala tuju lembaga pengarah MFL, kita ambil serius dengan apa-apa kekurangan daripada isu gaji pada musim ini.

"Isu Kelantan FC menjadi tular tetapi kami harap mereka boleh selesaikan perkara ini. Mereka tidak ada masalah pada tahun lepas tetapi ia berlaku pada tahun ini dan saya harao ia boleh diselesaikan sebelum hujung musim," katanya.