KUALA LUMPUR: Sekalipun darahnya tidak 'tumpah' di Malaysia namun pemain naturalisasi terbaharu negara, Romel Morales tetap mengganggap negara ini begitu istimewa di hatinya.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata, banyak pengalaman diharunginya sepanjang enam tahun di sini dan peluang menyarung jersi Malaysia sama sekali tidak pernah terlintas dalam fikirannya sejak tiba di kancah domestik pada 2018.
Justeru, dia mengambil peluang 'terhidang' ini sebagai satu cabaran baharu dalam kariernya dan bertekad untuk membantu skuad Harimau Malaya pada pentas Piala Asia 2023 di Qatar, bulan depan.
"Saya teruja dengan peluang ini dan saya tiba di Malaysia dengan pelbagai impian tetapi ini (menyarung jersi Malaysia) bukanlah sesuatu yang saya jangkakan sebelum ini.
"Saya bersyukur dengan peluang sebegini dan ini satu penghormatan buat saya. Walaupun baru enam tahun di sini, saya sudah rasa bagaikan sudah menjadi sebahagian daripada negara ini.
"Saya tidak perlu berfikir (mewakili Malaysia) jadi saya mengambilnya sebagai satu cabaran," kata Romel ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), petang tadi.
Terdahulu, pemain KL City FC itu menjadi 'senjata terbaharu' untuk diuji sebelum ke Piala Asia 2023 selepas dia menjadi antara empat muka baharu dipanggil Pan Gon untuk kem latihan pusat yang bermula semalam.
Selain Romel, tiga lagi muka baharu turut dipanggil kali ini adalah Natxo Insa dan Syamer Kutty Abba dari Johor Darul Ta'zim (JDT) serta pertahanan Selangor FC (SFC), Ahmad Khuzaimi Piee.