Trending
Bola

Klinsmann berang dakwa Malaysia tak berhak dapat penalti

DOHA: Ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann mengakui berang selepas pasukannya terikat 3-3 dengan Malaysia pada aksi Kumpulan E saingan Piala Asia, sebentar tadi.

Berkongsi satu mata dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Janoub itu mencalar reputasi Korea Selatan selaku gergasi bola sepak Asia dan berada di kedudukan ke-23 dunia berbanding Malaysia di ranking 130.

Justeru, Klinsmann seakan sukar menerima keputusan seri selepas melihat pasukannya menguasai hampir keseluruhan permainan dengan dia turut mempertikai beberapa keputusan termasuk mengenai penalti yang diperoleh Malaysia.

"Satu perlawanan yang menarik, enam gol terhasil. Namun, saya agak marah bagaimana gol itu berlaku (Malaysia). Saya rasa ia bukan penalti untuk Malaysia, tiada penalti.

"Kami menguasai hampir keseluruhan permainan namun tidak berjaya meraih kemenangan. Saya harap kami akan lebih baik untuk perlawanan akan datang dan kami akan melakukan analisa," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kejayaan mengikat pasukan Piala Dunia itu menyaksikan Harimau Malaya meraih mata pertama selepas tumbang di tangan Jordan dan Bahrain sebelum ini.

Related Article