Trending
Bola

Ramai 'kacukan' Harimau Malaya di Eropah

KUALA LUMPUR: Bukan setakat pemain Barcelona B, Naim Garcia yang berdarah Sepanyol memiliki keturunan Malaysia tetapi ramai lagi pemain kacukan yang layak mewakili Harimau Malaya ketika ini sedang beraksi di luar negara.

Terima kasih kepada laman pencari bakat, frfuturetalents yang berjaya mengesan lambakan kelompok pemain itu sekali gus memudahkan kerja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk 'meminang' mereka bagi menyertai skuad kebangsaan.

Cuma harus diingat meskipun mereka layak mewakili Malaysia namun tidak bermakna mereka akan memilih Malaysia memandangkan mereka lahir di negara yang memiliki kualiti bola sepak yang jauh lebih baik berbanding negara ini.

Berdasarkan pencarian frfuturetalents, kebanyakan pemain ini berkelahiran Belanda dan beraksi di liga tempatan namun ada yang beraksi bersama skuad pembangunan di England, liga bawahan di England selain di Itali.

Kelompok pemain ini juga masih muda dan mengisi banyak posisi sekali gus mampu memberi manfaat jangka panjang buat skuad kebangsaan sekiranya mereka memilih untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Antara pemain yang mencuri tumpuan adalah pemain tengah Heracles Almelo, Sem Scherperman berusia 21 tahun yang memiliki keturunan Malaysia menerusi neneknya dan rakan sepasukannya, Diego Van Oorshot yang berdarah Malaysia menerusi neneknya.

Pertahanan kanan Go Ahead Eagles, Mats Deijl yang berusia 26 tahun pula memiliki darah Malaysia sebelah bapanya.

Pemain tengah Wigan Athletic berusia 20 tahun, Christopher John Bernard Sze lahir di United Kingdom (UK) namun memiliki darah Malaysia sebelah datuknya yang juga rakyat Malaysia berbangsa Cina.

Penyerang tengah skuad B-21 Manchester United, Ethan Joseph Wheatly memiliki keturunan Malaysia menerusi neneknya sementara pemain tengah skuad B-17 Manchester City, Daniel Batty memiliki keturunan Malaysia menerusi ibu bapa kepada emaknya.

Pemain yang beraksi bersama Birmingham City di Liga Kejuaraan, Alfie James Chang turut layak mewakili negara selepas berketurunan Malaysia menerusi ibu bapa sebelah bapanya.

Dua beradik iaitu Jason van Duiven (18) yang beraksi bersama PSV Eindhoven di posisi penyerang dan adiknya, Robin van Duiven yang mewakili skuad B-18 PSV Eindoven berketurunan Malaysia menerusi neneknya.

Pemain lain yang turut menyertai kelompok pemain berdarah kacukan adalah dua beradik iaitu Danish Haady Dawood Pesenti (18) dan abangnya, Daniel Hylmi Dawood Pesenti (20 tahun) di mana ibu mereka daripada Malaysia.

Danish Haady kini beraksi bersama Arenzano FC di Itali selepas dipinjamkan daripada pasukan Serie D, Vado FC sementara Daniel Hylmi bersama GSD Olimpic 1971.

Menariknya, frfuturetalents menyatakan Daniel Hylmi beraksi bersama Melaka FC selama enam bulan pada tahun lalu selain pernah menjalani percubaan bersama Terengganu FC (TFC).

Semalam, BH Sukan melaporkan dua pemain sayap kebangsaan, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim mungkin memiliki pencabar terbaharu sekiranya skuad Harimau Malaya berjaya 'memujuk' pemain berdarah kacukan Sepanyol-Malaysia, Naim Garcia.

Berdasarkan maklumat dari laman pencari bakat Frfuturetalents, Garcia yang kini beraksi bersama Barcelona B memiliki darah keturunan Malaysia sekali gus memiliki prospek sebagai bintang baharu negara.

Pada usianya yang baru menginjak 21 tahun, pemain ini pasti mampu memberi manfaat jangka panjang buat skuad kebangsaan sekiranya dia memilih untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Related Article