Trending
Bola

Akinade azam beri Terengganu kemenangan pertama

KUALA TERENGGANU: Penyerang Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade melaungkan keyakinan untuk memburu kemenangan pertama dalam saingan Kejuaraan Kelab Asia Tenggara Rabu ini.

Ketiadaan rakan seposisinya, Nelson Bonilla yang tidak dibenarkan beraksi kerana didaftarkan melebihi tempoh pendaftaran ditetapkan membangkitkan lagi semangatnya untuk menghadiahkan kemenangan buat skuad Penyu.

TFC yang tewas 2-3 kepada kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 21 Ogos lalu, bakal melayani kunjungan kelab Vietnam, Dong A Thanh Hoa FC.

"Kami mahu mendapatkan tiga mata penuh berdepan kelab Vietnam itu selepas tumpas kepada kelab Kemboja di tempat sendiri pada bulan lalu.

"Namun sejujurnya kelab itu (Dong A Thanh Hoa FC) bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan berdasarkan reputasinya.

"Tapi kejayaan mengikat Sabah FC 1-1 pada aksi Liga Super minggu lalu hasil gol penyamaan saya sedikit sebanyak bakal menambah semangat kami untuk buru kemenangan, lagipun saya fikir kami mula bermain dengan lebih baik dalam perlawanan itu.

"Mengenai ketiadaan Bonilla, ianya tidak mematahkan semangat kami untuk merealisasikan impian melakar kemenangan biarpun saya akui dia pemain nombor sembilan yang bagus dan berpengalaman," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas menuntut semua pemain dapat memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan kedua itu.

"Kita tiada pilihan kecuali perlu menang untuk mengintai peluang ke peringkat seterusnya biarpun masih berbaki beberapa perlawanan lagi," katanya.

Related Article