PARIS: Seorang daripada atlet paling glamor pada Sukan Olimpik Paris 2024 ditendang keluar dari Perkampungan Atlet selepas didakwa mengganggu atlet lain dengan pakaiannya yang nipis selain giat bersosial.
Perenang Paraguay, Luana Alonso diberitahu supaya meninggalkan perkampungan itu selepas pegawai menyatakan dia mencipta "suasana yang tidak sesuai" menerusi tingkah lakunya.
Atlet cantik berambut perang berusia 20 tahun itu, yang tewas acaranya pada hari pertama pertandingan, dilihat berjalan-jalan dengan pilihan bajunya sendiri bukan menyarung pakaian rasmi yang disediakan kontinjen Paraguay.
Pegawai Jawatankuasa Olimpik Paraguay (COP) mengambil keputusan untuk melarangnya daripada bergaul dengan ahli pasukan lain selepas dimaklumkan mengenai tingkah lakunya yang dikatakan mencetus 'gangguan'.
Menjadi kebiasaan bagi setiap atlet untuk kekal hingga Sukan Olimpik berakhir apabila mereka menyertai upacara penutup yang gilang-gemilang.
Keputusan untuk menghalaunya keluar adalah disebabkan kemarahan COP dan dia diberitahu supaya menginap di hotel dan tidak berkongsi penginapan di Perkampungan Atlet yang mana mereka boleh berehat sambil menunggu acara berikutnya.
Ketika berada di Paris, dia dilihat melawat Euro Disney bergambar dengan sepasang Mickey Mouse di telinganya di depan istana Magic Kingdom.
Alonso, yang mengumumkan persaraannya daripada sukan itu selepas gagal layak ke separuh akhir dalam saringan acara kuak kupu-kupu, dilaporkan sudah pulang ke Amerika Syarikat yang mana dia menyambung pengajiannya di universiti di Texas.
Ketika lawatan ke ibu negara Perancis itu, Alonso menginap di Hotel Pastel, berdekatan dengan Arc de Triomphe dan mengunjungi banyak kedai dan muzium yang menjadikan Paris destinasi popular kepada pelancong.
Dia melawat kedai roti terulung Perancis, Laduree, menyiarkan gambar kek macaroonnya yang terkenal di peringkat antarabangsa.
Alonso juga menikmati beberapa terapi yang mahal di kedai utama pereka pakaian Yves Saint Laurent di Champs Elysee dan di seberang jalan ke ibu pejabat rumah fesyen Louis Vuitton.
Ketika masih dialu-alukan di Sukan Olimpik, dia juga mengambil peluang untuk menonton wira tenisnya dari tempat duduk Roland Garros, menyaksikan perlawanan membabitkan Novak Djokovic, Rafael Nadal dan Carlos Alcaraz. – AGENSI