Trending
11

Bekas tentera dipenjara 2 tahun, denda RM50,000 ceroboh hutan

TAIPING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 terhadap seorang bekas tentera kerana didapati bersalah menceroboh hutan simpan kekal tanpa kebenaran dua tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, A Raman Hashim, 51, dipenjara selama dua tahun lagi jika gagal membayar denda ditetapkan.

Hakim Mohd Sabri Ismail membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

A Raman didakwa bersama beberapa yang lain melakukan penerokaan tanpa kebenaran di Hutan Simpan Kekal Pondok Tanjung dekat Gunong Semanggol, Kerian, antara 8 Jun hingga 21 September 2014.

Dia didakwa pada 3 Mac tahun lalu mengikut Seksyen 32(1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 yang diguna pakai kerajaan negeri mengikut Enakmen Perhutanan Negeri 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjara maksimum lima tahun.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Mustafa Ghazali.

Mahkamah turut membenarkan hukuman penjara terhadap tertuduh ditangguh sehingga rayuan keputusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi selesai dengan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Mohd Sabri memerintahkan hukuman denda RM50,000 yang dikenakan kekal dan tiada penangguhan dibenarkan.