Trending
1303

Elfira wanita paling rapat dalam hidup Sufian

KUALA LUMPUR: Kontroversi yang mengaitkan pelakon Elfira Loy, 23, sebagai orang ketiga yang menjadi punca perpisahan penyanyi, Sufian Suhaimi, 25, berpisah dengan bekas teman wanitanya beberapa bulan lalu tanpa diduga mendekatkan hubungan mereka.

Kemelut yang melanda menguatkan lagi ikatan persahabatan mereka dan Sufian yang juga penyanyi lagu Terakhir tidak menafikan, Elfira adalah wanita yang paling rapat dalam kehidupannya ketika ini.

"Elfira adalah pendengar yang baik. Pengalamannya dalam industri seni banyak membantu saya menyusun langkah. Elfira banyak memberikan tunjuk ajar mengenai apa yang perlu dilakukan atau sebaliknya.

"Dia juga tempat saya meluahkan perasaan dan masalah. Keluarga saya dan Elfira tahu mengenai persahabatan kami. Hubungan saya dengan ibunya juga baik. Tetapi, rasanya terlalu awal untuk berbicara lebih jauh mengenai hubungan kami.

"Kita tidak pernah tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Kami selesa berkawan dan membiarkan segala-galanya mengalir mengikut keadaan. Setakat ini, kami belum membuat apa-apa perancangan untuk membawa hubungan ini ke fasa lebih serius," katanya.

Kronologi keakraban mereka bermula apabila jejaka berkaca mata itu memberikan kenyataan, Elfira adalah selebriti kesukaannya dan ia berlarutan di laman sosial. Tahun lalu, ketika rancak mempromosikan single pertamanya dan diundang sebagai tetamu di konti radio ERA, Elfira membuat kejutan menjadi pemanggil misteri, lalu mengundang Sufian ke kafe miliknya di Alam Damai, Cheras.

SUFIAN, Elfira enggan terburu-buru bawa hubungan ke fasa lebih serius. - Foto Amirnaufalphotography

Sedang biasakan diri

Pelawaan gadis berkening lebat itu diterima Sufian dan sejak itu, hubungan mereka semakin rapat.

Sufian yang juga calon awal dua kategori iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH 30 (ABPBH 3.0) mengakui, sedang membiasakan diri apabila keakrabannya dengan Elfira semakin diperkatakan.

Baginya, gosip itu lumrah apabila memilih jalan hidup sebagai insan seni. Setiap apa yang dilakukan atau apa juga keputusan yang diambil, pasti ada baik dan buruknya.

"Itu harga yang perlu dibayar oleh setiap insan seni. Terserah bagaimana mahu menanganinya kerana pilihan di tangan masing-masing. Sama ada mahu melatah atau bertenang apabila dihimpit kontroversi, kita yang tentukan.

"Saya tidak melihat usikan keakraban kami sebagai sesuatu yang serius. Lagipun, kami tidak berbuat apa-apa salah. Memang gosip ada baik dan buruknya, jadi kami perlu matang untuk menjadikannya positif," katanya.

Sufian berkata, hubungan mereka bertambah rapat sejak dua bulan lalu terutama apabila sering diusik peminat di laman sosial.

ELFIRA wanita paling rapat dalam hidup Sufian. - Foto Amirnaufalphotography

Kekal momentum

Penyanyi yang kini popular dengan lagu Harus Aku ini baru menyempurnakan rakaman lagu raya yang belum diberi judul.

Sufian berkata, pihaknya juga sedang meneliti beberapa lagu berpotensi untuk diketengahkan sebagai single ketiga.

Mengimbau perjalanan yang baginya agak pantas dilalui sejak setahun lalu, Sufian bersyukur kerana momentum itu mampu dikekalkan. Percubaannya pada Anugerah Juara Lagu Ke-31 pada Januari lalu secara tidak langsung memperkenalkan Sufian kepada kelompok peminat baharu.

"Alhamdulillah, momentum itu diteruskan dengan dua pencalonan pada ABPBH 3.0. Sebagai orang baharu, ia pencapaian yang baik. Secara peribadi, saya takut untuk meletak harapan tinggi meskipun optimis dengan kesungguhan penyokong saya terutama kelab peminat, Sufianators.

"Tidak mustahil kesungguhan mereka mengundi membuka peluang untuk saya melangkah ke Top 5. Jika gagal, ia bukan alasan untuk saya meratapi dan berhenti berkarya. Mereka menjadi pembakar semangat untuk saya berusaha tanpa mengenal putus asa," katanya yang turut mencuba nasib dalam lakonan menerusi telefilem, Riuh Raya Kak Mah.

PELAKON, Elfira Loy. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

INFO

  • Hubungan bertambah rapat sejak dua bulan lalu.
  • Baru menyempurnakan rakaman lagu raya.
  • Calon awal dua kategori iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular, ABPBH 3.0.
Related Article