Trending
5

Destini ambil alih Halaman Optima

KUALA LUMPUR: Pembekal penyelesaian kejuruteraan bersepadu, Destini Bhd mengambil alih syarikat pembekalan helikopter tentera, Halaman Optima Sdn Bhd (HOSB), dengan nilai RM5.5 juta.

Pengambilalihan itu membolehkan Destini membekalkan enam helikopter peninjau kepada Kementerian Pertahanan untuk Tentera Darat Malaysia.

Pengambilalihan kepentingan sebanyak 70 peratus dalam HOSB dibuat melalui anak syarikat Destini, Destini Prima Sdn Bhd (DPSB).

DPSB terbabit dalam perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat tentera.

Pengarah Urusan Kumpulan Destini, Datuk Rozabil Abdul Rahman, berkata dengan keupayaan baharu dan kontrak dalam tangan, kumpulan itu bakal menyaksikan peningkatan hasil pada masa hadapan daripada kerja penyenggaraan berjadual yang berulang dan yang tidak berjadual untuk tentera darat Malaysia.

"Selain mengembangkan kemampuan perniagaan, kami juga akan mempertingkatkan keupayaan perkhidmatan. Kami kini mampu menjalankan MRO untuk helikopter," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

DPSB juga diberi lesen bagi kerja MRO ke atas helikopter MD yang beroperasi di Malaysia.

Rozabil berkata perniagaan kumpulan berkembang melebihi MRO penerbangan kepada peralatan keselamatan dan ikhtiar hidup.

"Ini memberikan peluang kepada kumpulan untuk memperluaskan perniagaannya kepada sebuah perkhidmatan pelbagai MRO yang lebih luas, merangkumi fuslaj pesawat, enjin dan sistem navigasi," katanya. - BERNAMA