Sabtu, 15 Julai 2017 | 4:31pm
Anggota APM mengusung jenazah mangsa ke Unit Forensik Hospital Besut. - Foto Mohammad Ishak
Ahmad Irfan menunjukkan gambar mangsa yang diambil sebelum mandi. - Foto Mohammad Ishak

Penuntut kolej lemas di Air Terjun Lata Tembakah


Anggota APM menemui mayat mangsa lemas. - Foto Mohammad Ishak

JERTIH: Kegembiraan 18 penuntut sebuah kolej swasta dari Kubang Kerian, Kelantan berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas di Air Terjun Lata Tembakah, Hulu Besut, hari ini.

Ketika kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa, Mohammad Nurhaqkim Rostam, 18, pergi ke tingkat empat air terjun itu untuk mandi manda bersama sekumpulan enam rakan.

Rakannya, Ahmad Irfan Ahmad Khakid, 18, yang berada di atas tebing, ternampak mangsa tenggelam-timbul dan melambai-lambai tangan.

"Saya sangkakan mangsa bergurau tetapi tidak lama kemudian mangsa tenggelam," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Besut.

Mangsa adalah pelajar tahun akhir dalam bidang automotif di Kolej Stonia, Kubang Kerian, Kelantan.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Jertih, Mustafa Ismail, berkata lima anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan.

Katanya, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang pada jam 1.40 petang.

Berita Harian X