Ahad, 16 Julai 2017 | 9:08pm

2 maut motosikal rempuh tembok, kereta

PEGAWAI perubatan memeriksa mayat mangsa nahas di KM12.7 Jalan Turun Genting Highlands.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabas dan melanggar tembok tepi jalan di Kilometer (KM) 12.7 Jalan Turun Genting Highlands ke ibu negara, tengah hari tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, Lee Man Long, 43, yang berasal dari Bandar Puteri Puchong dekat sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa yang menunggang jentera Mv Agusta F3 800 secara bersendirian dari arah Genting Highlands untuk ke ibu negara dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh di lokasi terbabit sebelum motosikalnya terbabas melanggar tembok di sebelah kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor, berkata mangsa terjatuh dan terbabas bersama-sama motosikalnya melanggar tembok batu sebelah kiri laluan terbabit.

"Lokasi kemalangan adalah jalan dua lorong sehala berselekoh ke kanan di kawasan berbukit dan ketika kemalangan, jalan kering dan cuaca baik.

KEADAAN motosikal berkuasa tinggi mangsa selepas nahas di KM12.7 Jalan Turun Genting Highlands.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Bentong," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan di Serdang, seorang penunggang motosikal maut selepas kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di KM20.5 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Puchong, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 melanggar bahagian pintu hadapan kanan sebuah Perodua Kelisa dipandu seorang wanita menyebabkannya tercampak ke atas jalan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata pemandu Perodua Kelisa dalam perjalanan dari arah Damansara ke Puchong melalui susur di bawah jejambat dan ketika di persimpangan lampu isyarat di situ, dia meneruskan perjalanan kerana isyarat lampu hijau.

"Bagaimanapun, tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah kanan melanggar bahagian pintu hadapan sebelah kanan kereta terbabit.

"Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berusia 37 tahun berasal dari Shah Alam itu jatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua kemalangan maut itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X