Khamis, 20 Julai 2017 | 1:36pm

2 kakitangan BERNAS didakwa pecah amanah

BUTTERWORTH: Dua kakitangan Syarikat Padi Beras Nasional Bhd (BERNAS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan pecah amanah membabitkan kehilangan stok beras bernilai RM1.107 juta antara 2 Ogos 2016 hingga 9 Mac lalu.

Mohd Khairie Mohd Noor, 32, dan Mohamad Taufik Akman, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Noorhayati Mohd Yunus.

Mengikut pertuduhan, Mohd Khairie dan Mohd Taufik, masing-masing adalah Pembantu Tadbir Operasi (Ketua Gudang) dan Pembantu Tadbir Operasi (Kerani Stok) BERNAS, dengan niat bersama melakukan pecah amanah harta BERNAS iaitu 515,050.56 kilogram (kg) beras gred Thai White Rice (TWR) bernilai RM1.107 juta.

Kedua-dua mereka dituduh menyalahgunakan harta itu untuk kegunaan sendiri di pejabat BERNAS di Kawasan Perindustrian Prai di sini, antara 2 Ogos 2016 hingga 9 Mac lalu.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, seorang pemandu lori, C Ramanathan, 56, turut didakwa bersubahat dengan kedua-dua tertuduh untuk melakukan pecah amanah pada tarikh dan tempat sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama, yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azrul Abdul Rahman. Manakala, Mohd Khairie dan Mohd Taufik diwakili Ahmad Rizal Abdul Hamid dan Chong Seng Thing manakala Ramanathan tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Berita Harian X