Sabtu, 22 Julai 2017 | 4:46pm

Van UiTM rempuh kereta pelajar, 2 maut

KAMPUNG GAJAH: Dua mati manakala tujuh cedera termasuk empat parah dalam kemalangan dua kenderaan dinaiki pelajar dan kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Tapah di Kilometer 17, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan, dekat sini, jam 1.30 tengah hari tadi.

Kemalangan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Chulan, Pulau Tiga itu membabitkan sebuah Proton Gen2 dinaiki enam pelajar universiti itu dengan van jenis Nissan Urvan milik UiTM berkenaan yang dipandu kakitangan bersama dua pelajar universiti sama.


Keadaan van milik UiTM Cawangan Tapah yang terbabit kemalangan di Jalan Lambor Kanan, berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Chulan Pulau Tiga, dekat Kampung Gajah, hari ini. - Foto ihsan Bomba

Mangsa maut ialah dua penumpang kereta Proton Gen2, Aimi Naziha Mohd Zamri, 18, dari Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur dan Nur Danisyah Mohd Sofian, 18, dari Taman Semarak, Sungai Chua, Kajang, Selangor.

Empat lagi pelajar menaiki kereta sama yang parah ialah Ainur Farah Qistina Ayub, Nur Aina Nadhirah Mohamed Azman dan Nor Hamizah Zaharan serta pemandu, Izani Farhani Mohd Izzat Wong.

Kesemua mereka juga berusia 18 tahun.

Sementara itu, tiga lagi mangsa yang menaiki van hanya cedera ringan iaitu pemandu yang bertugas dengan universiti berkenaan, Sanusi Abdul Rahman, 28, serta dua pelajar, Farah Wahida Budiman Radi, 20, dan Fathullah Suhaimi Ahmad Shukri, 22.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah, berkata berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Gen2 dari arah Kampung Gajah secara tiba-tiba membuat pusingan U sebelum dilanggar oleh van yang datang dari arah yang sama.

"Akibat kemalangan itu, dua penumpang kereta maut di tempat kejadian. Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Changkat Melintang.

"Pemandu van dan penumpang kereta mengalami kecederaan dan dirujuk ke hospital sama," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

11302 dibaca
Berita Harian X