;
Sabtu, 22 Julai 2017 | 5:49pm

Dua agensi kerajaan Sabah bawah 'radar' SPRM

KOTA KINABALU: Dua agensi kerajaan negeri di Sabah kini berada di bawah 'radar' Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Sazali Sabli, berkata operasi besar-besaran akan dilancarkan dalam tempoh terdekat membabitkan kedua-dua agensi terbabit yang tidak dinamakannya.


Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Sazali Sabli. NSTP/EDMUND SAMUNTING

Katanya, SPRM mendapati ada asas untuk menjalankan siasatan berdasarkan kedudukan kedua-dua agensi itu yang menerima sejumlah peruntukan besar.

Tanpa mahu mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, beliau berkata siasatan akan turut membabitkan pegawai tinggi agensi terbabit.

"Siasatan akan dimulakan dalam beberapa minggu lagi," katanya ditemui pada Majlis Hari Raya SPRM Sabah bersama media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Sazali berkata sehingga awal bulan ini, SPRM menerima 274 aduan berkaitan rasuah di negeri ini dengan 56 kertas siasatan sudah dibuka setakat ini.

Katanya, kebanyakan kes membabitkan kakitangan awam yang membuat tuntutan palsu berkaitan kerja, perjalanan dan penginapan.

Dalam hal lain, beliau berkata, SPRM Sabah memantau dan mendapatkan maklumat berkaitan pemandu pelancong yang didakwa terbabit dalam amalan rasuah sehingga menjadi isu di negeri ini, baru-baru ini.

Ia berdasarkan laporan berkaitan tindakan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang membuat siasatan berhubung tunjuk perasaan dibuat pemandu pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada minggu lalu.

Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan Sabah, Ahmad Zaki Abu Bakar, dilaporkan berkata segelintir pemandu pelancong terbabit menerima komisyen yang bertentangan dengan undang-undang.

1943 dibaca
Berita Harian X