Sabtu, 22 Julai 2017 | 9:32pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar

Mangsa mi beracun masih dirawat

KUCHING : Polis masih belum menyoal siasat seorang pelajar lelaki yang diracun rakan sekelasnya di Sri Aman kerana mangsa masih dalam pemantauan lanjut di Hospital Sri Aman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, polis akan menemui pelajar terbabit apabila dia dibenarkan keluar daripada hospital.

Beliau berkata, keterangan pelajar itu perlu bagi membantu siasatan berikutan satu laporan dibuat datuk suspek, semalam, yang mendakwa dia sering dibuli mangsa sebelum ini.

"Kami akan menemubual pelajar itu sebaik dia keluar hospital dan kami juga akan menyoal guru sekolah terbabit bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin, seorang pelajar sekolah menengah di Sri Aman dikejarkan ke hospital kerana muntah selepas makan mi goreng dicampur racun lipas oleh rakan sekelasnya.

Suspek yang disyaki memasukkan racun itu ditahan polis pada jam 2.30 pagi semalam susulan laporan polis yang diterima daripada bapa mangsa, kelmarin.

Kira-kira jam 5 petang semalam, datuk mangsa pula membuat laporan di Balai Polis Sri Aman, mendakwa cucunya yang juga suspek kes racun itu sering dibuli mangsa.

Malah beliau mendakwa, mangsa juga sering meminta makanan dan wang daripada cucunya.

814 dibaca
Berita Harian X