Isnin, 24 Julai 2017 | 4:49pm
Banner yang direntangkan penduduk Bangi mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang berjaya menyelesaikan kes itu selepas menahan empat suspek termasuk dua suspek utama yang mencederakan Syazana Amirah.
Banner yang direntangkan penduduk Bangi mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang berjaya menyelesaikan kes itu selepas menahan empat suspek termasuk dua suspek utama yang mencederakan Syazana Amirah.

Remaja mangsa samun semakin pulih

KUALA LUMPUR: "Berkat doa orang ramai dan kerja keras pasukan perubatan yang merawatnya, Nana kini semakin pulih daripada kecederaan."

Nuratikah Asshaari, kakak kepada Syazana Amirah Asshaari atau Nana, 14, yang parah dibelasah dua penjenayah yang menyamun kediaman mereka di Kampung Masjid, Bangi pada 7 Julai lalu, berkata adiknya sudah pun dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), kelmarin.

"Alhamdulillah keadaannya bertambah baik walaupun belum boleh bercakap sangat kerana tekaknya masih luka.

Keadaan terkini Syazana Amirah yang semakin pulih dan dia sudah dibenarkan keluar daripada HKL, kelmarin.
Keadaan terkini Syazana Amirah yang semakin pulih dan dia sudah dibenarkan keluar daripada HKL, kelmarin.

"Nana juga masih bergantung kepada tiub untuk minum susu khas dan air kosong setiap empat jam kerana kecederaan di mulutnya masih belum pulih. Buat masa ini dia tidak boleh mengambil sebarang makanan pejal," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Katanya lagi, adik bongsunya itu juga sudah menunjukkan tanda positif untuk pulih apabila sudah boleh berjalan walaupun masih dalam keadaan lemah.

"Walaupun sudah dibenarkan pulang, Nana masih perlu menjalani rawatan susulan di HKL bagi membolehkan doktor pakar memeriksa kecederaan pada mulut dan tempurung kepala yang dialaminya.

"Mohon semua pihak doakan Nana kembali pulih seperti sedia kala kerana kami kasihankan dia yang kadang-kadang memberontak kerana dia tidak boleh makan dan minum secara normal," jelasnya.

Selain itu, katanya sejak akhir-akhir ini, Nana kerap bertanya bila dia boleh berjumpa dengan Benladen (peserta Idola Kecil 5) kerana dia memang terlalu minat dengan penyanyi itu.

"Kami ada juga berhubung dengan Ben dan diberitahu pengurusnya akan telefon kami untuk memberi kata putus bila Ben boleh datang melawat.

"Buat masa ini, kami cuba penuhi segala keinginannya kerana dia amat memerlukan sokongan moral terutama daripada keluarganya sendiri," kata Nuratikah, 22, yang juga anak sulong dalam keluarganya.

Menurutnya lagi, dia dan keluarga amat berterima kasih kepada banyak pihak yang banyak membantu mereka termasuk mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat, mengadakan kutipan derma selain menitipkan doa supaya Nana cepat sembuh selain kecekapan polis menahan penjenayah yang mencederakan adiknya.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Syazana Amirah yang juga pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra, retak tengkorak, patah rahang selain patah empat gigi dan lebam pada pipi dan leher.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa tinggal sendirian di rumah berkenaan dan perompak dipercayai masuk melalui pintu hadapan yang tidak berkunci.

Kejadian disedari ibunya, Siti Rafiah Mansor, 48, yang pulang kira-kira jam 11.15 pagi selepas menemui anaknya terbaring dalam keadaan berlumuran darah di katil di dalam bilik dipercayai dicederakan menggunakan objek tumpul dan tajam.

Syazana Amirah kemudian dikejarkan ke Hospital Kajang sebelum dipindahkan ke HKL kerana kecederaannya yang parah sebelum menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku di kepala serta pembedahan untuk memasang besi pada rahangnya.

Susulan kejadian itu, polis sudah menahan empat suspek termasuk dua suspek utama yang mencederakan Syazana Amirah dalam beberapa serbuan di Kajang pada 12 dan 13 Julai lalu.

Berita Harian X