Jumaat, 28 Julai 2017 | 11:15am

JPN boleh guna undang-undang syariah negeri

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh mengguna pakai undang-undang syariah negeri bagi menentukan hak orang Islam, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Beliau berkata, Jadual Kesembilan Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan undang-undang syariah negeri yang mempunyai kuasa ke atas orang Islam, termasuk hukum syarak berhubung soal pewarisan, perceraian, mas kahwin dan kesahtarafan. 

Katanya, jadual itu turut memberi kuasa, antaranya dalam isu penjagaan, amanah serta institusi khairat di dalam sesebuah negeri. 

"JPN sebagai pihak yang mendaftarkan kelahiran terikat kepada undang-undang Islam negeri, khususnya bagi perkara serta isu membabitkan orang Islam.

"JPN juga boleh mengguna pakai fatwa yang sudah diwartakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam menentukan hak orang Islam." katanya ketika dihubungi BH, semalam. 

Kesan jangka pendek, panjang

Musa berkata, keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang memutuskan JPN tidak terikat dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dikhuatiri memberi kesan jangka panjang dan pendek kepada nasab (keturunan) orang Islam.

Beliau berkata, Islam amat mementingkan kesahtarafan bagi menjaga keturunan umatnya bagi mengelak kekeliruan pada masa hadapan.

"Sekiranya seorang anak perempuan berkahwin yang berwalikan individu yang mengakui dirinya ayah, maka perkahwinan itu adalah tidak sah dan akan memberi kesan kepada status keturunannya," katanya.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, dalam penghakimannya, berkata bidang kuasa Ketua Pengarah JPN adalah sivil dan terbatas untuk menentukan sama ada bapa memenuhi syarat mengikut Seksyen 13A(2) Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA). 

Berita Harian X