Khamis, 3 Ogos 2017 | 7:12am
Mohd Shazrin Yacob

Redah alun 300 meter, rakan hilang

DUNGUN: Empat nelayan yang hilang selepas bot gentian kaca mereka naiki dibadai ombak dekat Kuala Dungun malam tadi dipercayai tidak pandai berenang.

Rakan mereka yang terselamat, Mohd Shazrin Yacob, 33, berkata ketika dia berenang sejauh kira-kira 300 meter selepas bot gentian kaca mereka naiki terbalik dipukul ombak besar di muka kuala, empat rakannya hilang dalam gelap malam.

Katanya, empat rakannya yang hilang itu hanya dikenali sebagai Nazri, 37; Pok, 20; Wahab, 40 dan Apandi, 30 hilang, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam. 

Katanya,  sebelum kejadian, semua 20 nelayan dengan sebuah bot yang berpangkalan di Marang itu dalam perjalanan untuk berehat di muara Kuala Dungun. 

"Akibat air cetek,  bot tidak boleh masuk ke Kuala Dungun dan kami melabuhkan bot di luar muara dan terpaksa menggunakan bot gentian kaca. 

Kami bercadang  turun sekumpulan demi kumpulan memandangkan bot gentian kaca itu kami kecil dan kami berlima turun terlebih dahulu," katanya ketika ditemui. 

Mohd Shazrin berkata,  sebaik bergerak kira-kira 100 meter, bot gentian kaca itu dipukul ombak besar yang menyebabkan ia terbalik. 

"Saya menjerit kepada mereka supaya berpegang pada bot dan kami semua sempat berpaut.

"Tidak lama selepas itu, bot yang terbalik itu dipukul ombak besar sekali lagi menyebabkan kami berpecah dalam gelap malam itu," katanya. 

Beliau berkata dalam suasana kelam kabut dan gelap itu, dia sempat menjerit supaya rakannya berenang ke darat biarpun ketika itu dia tidak nampak mereka.

"Saya berenang sejauh 300 meter sebelum tiba di darat dan percaya semua mereka tidak pandai berenang," katanya. 

Sebaik tiba di daratan saya melaungkan nama mereka supaya berenang ke arah saya namun kelibat mereka tidak muncul," katanya. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan kejadian. 

Katanya, polis yang menerima laporan bersama 20 anggota Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) melancarkan gerakan mencari dan menyelamat. 

Operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan sementara kerana cuaca gelap malam tadi dan akan disambung semula pagi ini.

Berita Harian X