Sabtu, 5 Ogos 2017 | 9:46am

Nelayan Myanmar langgar syarat

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tiga tekong dan enam awak-awak warga Myanmar bersama tiga bot nelayan tempatan pada kedudukan kira-kira 18.52 kilometer dari selatan Pulau Pangkor di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, nelayan terbabit ditahan kerana melanggar syarat lesen menangkap ikan ditetapkan.

Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan nelayan warga Myanmar di kedudukan 10 batu nautika (18.52 kilometer) dari selatan Pulau Pangkor, Lumut, petang semalam. - Foto Ihsan APMM

Pengarah Maritim Daerah Maritim (DM) 3 Lumut, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, Kapal Maritim Nyalau yang diketuai Leftenan Maritim Ahmad Shaifuruddin Jamaluddin menahan bot berkenaan ketika melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara.

Katanya, ketiga-tiga bot berkenaan berpangkalan di Hutan Melintang dengan menggaji kru warga asing dan semua yang ditahan berusia antara 23 hingga 54 tahun.

"Pemeriksaan mendapati bot berkenaan menjalankan aktiviti menangkap ikan yang melanggar syarat dinyatakan dalam lesen kerana menggaji warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Semua kru warga Myanmar yang ditahan itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 dan semua warga asing bersama bot masing-masing diiringi ke Jeti Kampung Acheh untuk siasatan lanjut.

Berita Harian X