Sabtu, 5 Ogos 2017 | 4:55pm
PASUKAN Bomba dan Penyelamat berbincang untuk melancarkan operasi mencari mangsa lemas bot terbalik dipukul ombak di muara Kuala Dungun. - Foto Rosli Ilham.

Negara jiran mungkin diminta cari nelayan hilang

DUNGUN: Polis akan meminta bantuan negara jiran mengesan tiga nelayan yang masih hilang jika operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih gagal menemui mereka.

Ketua Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail, berkata pihaknya akan memaklumkan perkara itu kepada Wisma Putra bagi mendapatkan kerjasama negara jiran.

Katanya, setakat ini pihaknya melalui beberapa lagi agensi penyelamat masih meneruskan operasi itu dan sehingga semalam gagal menemui tiga lagi mangsa yang masih hilang.

"Operasi hari ini tidak hanya tertumpu di sini dan kita meminta bantuan dari daerah serta negeri lain termasuk negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia.

"Jika pihak berkuasa negara terbabit termasuk nelayan mereka menemui objek terapung, mereka diminta memaklumkan segera kepada kita untuk proses pengecaman," katanya ketika melawat keluarga mangsa lemas, hari ini. 

Dalam kejadian Rabu lalu, lima nelayan, iaitu dua beradik Mohd Shazrin Yaccob, 33, Mohd Nazri Yaccob, 37, Che Mohd Afandi Che Ismail, 34, Mohamad Zawawi Mohamad, 27, dan Abdul Wahab Zakaria, 44, tercampak ke laut selepas bot gentian kaca yang mereka naiki karam dipukul ombak kuat pada jam 10 malam.

Bagaimanapun, Mohd Shazrin berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke daratan.

Mayat Mohd Nazri ditemui oleh pasukan SAR pada jarak 300 meter dari tempat bot karam, kira-kira jam 8.50 pagi semalam.

Aidi berkata, dari segi tempoh operasi, jika keadaan ini berterusan, pihaknya mungkin terpaksa mengurangkan petugas atau aset.

Katanya, operasi SAR dipertingkatkan dengan menggunakan bot super tunda dan helikopter serta memperluaskan pencarian oleh unit udara sehingga ke Kuala Dungun dan Paka.

"Jarak pencarian juga diperluas sehingga 10 kilometer dan kekuatan anggota daripada pelbagai agensi meningkat kepada 112 petugas," katanya.

Berita Harian X