Sabtu, 5 Ogos 2017 | 7:44pm

Diserang `pistol', pedang samurai gara-gara teman wanita

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur sedang memburu lima lelaki yang menyerang seorang pelajar sebuah kolej dalam sebuah kafe siber di Setiawangsa, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, mangsa, seorang remaja lelaki berusia 21 tahun didatangi sekumpulan lima suspek ketika sedang menggunakan sebuah komputer.

Mangsa dibelasah dan kemudian ditarik keluar dari kafe siber berkenaan, sambil dipukul dan diacukan dengan spucuk pistol dipercayai tiruan.

Mangsa turut dicederakan dengan sebilah pedang samurai, selain kepalanya dihentak dengan alat pemadam api.

Berdasarkan rakaman video, tiada seorang pun pekerja mahupun pelanggan kafe siber berkenaan membantu mangsa.

Mangsa kemudian ditarik masuk ke dalam sebuah kereta dipercayai jenis Suzuki Swift dan dibawa ke sebuah bangunan, sekitar 200 meter dari kafe siber berkenaan.

Di sana, mangsa sekali lagi dibelasah dan kepalanya dihentakkan ke pili bomba sebelum ditinggalkan dalam keadaan cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner, Rusdi Mohd Isa, berkata mangsa yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), menerima tujuh jahitan di kepala, selain patah jari telunjuk dan lebam pada belakang badan serta muka.

"Pada masa ini, pihak kami sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek terbabit.

"Kita percaya, seorang daripada suspek dikenali mangsa dan kejadian dipercayai bermotifkan salah faham, antara teman wanita mangsa dan seorang suspek," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera menggunakan senjata berbahaya.

11988 dibaca
RAKAMAN video lima lelaki menyerang seorang pelajar sebuah kolej dalam sebuah kafe siber di Setiawangsa, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Berita Harian X