Isnin, 7 Ogos 2017 | 6:29pm
HASIMAH Ismail (kanan) menemani anaknya Mimi Sharmila Che Husain, 22, (dua dari kiri) menunggu pihak berkuasa yang giat mengesan menantunya, Mohd Zawawi Mohamed salah seorang mangsa bot karam di Kuala Dungun. - Foto Rosli Ilham

SAR buntu, operasi diteruskan hingga Rabu

DUNGUN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga nelayan yang hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik di muara sungai Kuala Dungun, di sini, yang masuk hari kelima terus buntu namun akan diteruskan hingga Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, berkata sehingga hari ini, tiada sebarang petunjuk diperoleh pasukan operasi sejak ia dilancarkan Khamis lalu.

"Operasi akan diteruskan sehingga Rabu ini namun ia bergantung kepada keadaan semasa sepanjang operasi ini dijalankan.

"Kita juga menggiatkan usaha termasuk pencarian di laut termasuk membabitkan operasi penyelam, pencarian udara dan pesisir pantai namun masih buntu," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi hari ini, pihaknya meluaskan skop pencarian sehingga ke 30 kilometer ke perairan Kerteh, Kemaman.

Difahamkan, pasukan SAR akan membuat keputusan lanjut mengenai operasi berkenaan pada Rabu mengikut perkembangan pencarian pada ketika itu.

Rabu lalu empat nelayan dikhuatiri lemas selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka ke Jeti Kuala Dungun terbalik dipukul ombak dalam kejadian kira-kira jam 10 malam.

Bagaimanapun mayat seorang daripada mangsa, Mohd Nazri Yaccob, 37, ditemui kira-kira jam 8.50 pagi Jumaat lalu.

Mangsa yang masih hilang ialah Che Mohd Afendi Che Ismail, 34; Mohamad Zawawi Mohamed, 27 dan Abdul Wahab Zakaria, 44.

Berita Harian X