Selasa, 8 Ogos 2017 | 1:21pm

Lebih 5 pegawai kerajaan akan ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka menahan lebih lima pegawai sebuah agensi kerajaan di negeri ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah dan salah laku.

Mereka dijangka ditahan dalam operasi khas dikendalikan SPRM Sabah menjelang hujung bulan ini sebelum didakwa di mahkamah.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Sazali Salbi. - Foto NSTP/Izhari Ariffin

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, berkata pegawainya sudah merangka strategi khusus bagi melaksanakan operasi berkenaan dan bersedia memanggil beberapa saksi, termasuk ahli keluarga pegawai terbabit jika perlu.

"Selepas hujung bulan ini, ada tangkapan dan tuduhan (di mahkamah) ke atas sebilangan pegawai daripada sebuah agensi kerajaan, saya tak mahu umum agensi mana, tetapi saya boleh beritahu lebih lima akan ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah.

Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani.

Baru-baru ini, Sazali dilaporkan berkata, dua agensi kerajaan di Sabah kini berada di bawah 'radar' SPRM selepas pihaknya mendapati ada asas untuk menjalankan siasatan berdasarkan kedudukan kedua-dua agensi itu yang menerima sejumlah peruntukan besar.

Beliau dilaporkan berkata, operasi besar-besaran akan dilancarkan dalam tempoh terdekat membabitkan kedua-dua agensi terbabit yang tidak dinamakannya.

Berita Harian X