Rabu, 9 Ogos 2017 | 10:40am
KEADAAN kereta selepas berlanggar dan terbakar di Kilometer 51, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat. - Foto Ihsan Bomba Dan Penyelamat
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengeluarkan dua mayat rentung, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51, Jalan Johor Bahru-Batu Pahat. - Foto Ihsan Bomba Dan Penyelamat

Dua rentung dalam kemalangan kereta

PONTIAN: Dua rentung, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 51 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat, dekat sini, awal pagi tadi.

Dua mangsa yang maut dan terbakar dalam kereta Toyota Wish masih belum dikenal pasti identiti.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman, berkata dua lagi yang cedera adalah pemandu kereta Toyota Corona, Ho Ei Fong, 20 dan rakannya, Lee Zhong Jin, 21.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Wish dari arah bertentangan hilang kawalan dan masuk ke laluan kereta Toyota Corona.

"Toyota Corona terbabit dipercayai cuba berhenti dan mengelak ke kiri, namun disebabkan jarak terlalu dekat, kereta itu tidak dapat mengelak.

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua kenderaan terbakar dan dua mangsa maut di tempat kejadian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X