Rabu, 9 Ogos 2017 | 3:39pm
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berucap pada majlis perasmian program perhimpunan Anak Muda Penggerak Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Abd Halim ke SPRM perkara biasa - Nur Jazlan

KUALA LUMPUR: Kehadiran Ketua Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin, ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor semalam adalah perkara biasa.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata pertemuan itu tidak seharusnya diperkatakan kerana kedua-dua agensi sentiasa menjalinkan kerjasama bagi mempertingkatkan program kesedaran dan pencegahan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut kerana tidak mempunyai maklumat berkaitan perkara itu.

"Saya tidak tahu (kehadiran Abd Halim ke SPRM), kalau saya komen, nanti prejudis pada siasatan, lebih baik saya tidak komen.

"SPRM buat siasatan biasa tetapi kebanyakan tak berakhir dengan pendakwaan...perkara biasa jika ada perjumpaan antara agensi (termasuk antara AADK dan SPRM)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program perhimpunan Anak Muda Penggerak Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di sini, hari ini.

Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua PEMADAM berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran Abd Halim ke SPRM Selangor di Shah Alam, semalam.

Memetik laporan New Straits Times, kehadiran Abd Halim dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah yang disiasat oleh suruhanjaya itu dan kehadirannya untuk memberi kenyataan itu disahkan Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah

Bagaimanapun, Abd Halim menafikan bahawa beliau dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah, sebaliknya sekadar membincangkan program yang bakal diadakan oleh dua agensi itu.

2970 dibaca
Berita Harian X